
Sungguhpun demikian, sebelum ini saya sudah biasa membaca artikel beliau yang termuat dalam majalah Anis, dan tidak keberatan untuk saya memperakui sememangnya saya gemar membaca tulisan beliau dalam mengupas persoalan-persoalan masyarakat sebagai mana minat saya membaca tulisan Ust. Hasrizal dari SaifulIslam.com. yang sering mengupas persoalan yang sama tapi dengan cara yang sedikit berbeza.
Buku setebal 350 muka surat (termasuk glosari dan indeks) ini mengandungi 39 bab yang kait mengait antara satu sama lain dan mengutara perkara yang berbeza-beza dengan cadangan penyelesaian yang hampir sama pada setiap bab. Perkara-perkara yang berbeza itulah yang boleh saya sebut sebagai masalah-masalah semasa yang dihadapi oleh orang melayu-islam. Manakala cadangan penyelesaian yang hampir sama pula kalau disimpulkan dalam satu ayat bolehlah disebut sebagai "kembali kepada ajaran islam yang sebenar".
Sungguhpun pada muka depan buku ini tertera perkataan "Analisis Perkembangan Politik Kontemporari Pada Kaca Mata BEBAS" . Hakikatnya, buku ini bukanlah satu buku analisis tentang politik negara ini seperti yang mungkin difahami oleh penggemar politik tanahair. Saya lebih merasakan seperti membaca buku motivasi agama sepanjang tempoh pembacaan saya. Saya cukup terasa apabila diceritakan tentang kelemahan umat Islam dari sudut teknologi atau sudut lahiriah memandangkan kerja harian saya sememangnya berurusan langsung dengan perkembangan teknologi dan kenyataan itu sungguh tepat dan sangat menarik kalau hendak dibincangkan lebih lanjut. Lain buku mungkin.
Long Breath War
Long Breath War atau Perjuangan Nafas Panjang sering diulang-ulang hampir setiap topik perbincangan. Ini cukup membuktikan bertapa penulis ingin mengutarakan bertapa ia sangat penting. Kita pasti perasan, setiap kali umat islam diserang, sama ada di Afghanistan, Iraq, Palestin atau mana-mana tempat di dunia ini, kita sering mengharapkan keajaiban berlaku. Kita harapkan biarlah Allah taala timpakan malapetaka kepada tenteta musuh dengan apa cara sekalipun. Biar tiba-tiba semua kereta kebal musuh meletup, biar jet-jet penjuang terhempas, biar kapal selam mereka tenggelam tak timbul-timbul.
1001 macam keajaiban kita harapkan. Tidak dinafikan, cuma itulah yang mampu kita harapkan selepas menderma atau yang paling hebatpun menawarkan diri menjadi sukarelawan selepas perang selesai. Namun, adakah semudah itu pertolongan Allah kepada kita. Adakah Allah taala yang mengizinkan Nabi-nabinya diseksa dan ada yang terbunuh kerana mempertahankan agama ini, senang-senang menolong majoriti umat yang sekarang ini jauh dari mentaatiNya. Siapa kita berbanding para Nabil Allah.
Rasulullan dan sahabat diseksa secara terus menerus selama 13 tahun sebelum datangnya pertolongan yang diharap-harapkan. Di sinilah pentingnya perjuangan nafas panjang. Apa yang telah dibina oleh Rasulullah 1400 tahun dulu mesti dibina kembali. Segala-galanya bermula dari tauhid. Apa yang telah merubah nasib bangsa Arab Jahiliyaah dahulu jugalah yang akan mengubah nasib umat Islam hari ini.
PAS vs UMNO
Saya terpaksa mengaku, saya akan terasa lebih 'entertained' apabila penulis membicarakan secara langsung berkenaan politik tanah air, walaupun saya berpandangan majoriti isu yang diutarakan dalam buku ini adalah berkenaan masalah umat melayu islam secara keseluruhan.
Saya memperakui bertapa saya setuju dengan banyak pandangan yang dikemukakan oleh Penulis dalam beberapa isu politik yang diketengahkan. Saya setuju tentang perbalahan antara parti politik aliran kebangsaan (pastinya dimaksudkan UMNO) dan aliran agama (pastinya PAS - kurang jelas PKR pula aliran apa) tidak kurang berpunca dari sikap taksub. Walaupun tidak dinafikan tidak sedikit juga berpunca dari penyelewengan yang jelas dari satu pihak kepada pihak yang lain. Saya sangat setuju dengan pandangan bahawa sistem pendidikan islam melalui pengajaran subjek pendidikan islam di negara ini sepetutnya dikaji semula keberkesanannya kerana telah jelas kini sememangnya ia tidak berkesan melahirkan generasi islam yang tepat islamnya.
Saya juga sangat setuju bahawa bandaraya islam kota bharu sepatutnya tidak hanya dibebankan pada bahu majlis perbandaran atau lebih kejam lagi atas bahu Tok Guru Nik Aziz selaku menteri besar. Sepatutnya bebanan ini dipikul oleh Parti PAS secara keseluruhannya kerana jika model bandar raya islam ini gagal (sekurang-kurangnya pada mata umat melayu-islam di malaysia) masakan PAS akan diberi peluang memerintah Malaysia sebagai negara islam kelak. Hal ini mesti dipandang serius oleh pimpinan PAS dan semua ahlinya.
Dalam begitu banyak 'persetujuan' saya terhadap pendapat yang di kemukakan dalam buku ini. Ada juga pendapat yang tidak saya persetujui. Pendapat mengatakan sesiapa yang memperjuangkan melayu maka secara automatik mereka memperjuangkan Islam pada saya kurang tepat. Di sini penulis membawa hujah menggunakan maksud melayu dari sudut perundangan. Bahawa orang melayu mestilah beragama Islam dan ditafsirkan jika melayu ini murtad, maka dia bukan lagi melayu. Maka dapatlah difahami dari logik tadi, kiranya orang itu memperjuangkan melayu maka dia memperjuangkan islam. Saya rasa pandangan ini dikuatkan lagi dengan perjuangan mendaulatkan melayu dan islam yang sering diwarwakan oleh golongan berfahaman kebangsaan mutakhir ini. Sayang sekali, apa yang berlaku kini sebenarnya hanyalah sekadar politik mengikut arus oleh golongan pemerintah. Kita tahu bahawa kesedaran agama yang bermula pada akhir 60-an dan awal 70-an terus meningkat hingga ke hari ini. Sedangkan hal ini tidak berlaku sebelum merdeka atau pada era 50-an semasa peringkat awal perjuangan parti kebangsaan. Sedangkan perjuangan atas dasar islam atau melayu-islam ini bermula lebih awal dari itu golongan yang disebut sebagai aliran agama pada hari ini. Jadi tidak tepat kalau di pukul ratakan bahawa perjuangan bangsa melayu dengan sendiri adalah perjuangan islam.
Berkenaan dengan pemilihan wakil rakyat melalui kelayakan individu berbanding parti yang diwakili pula saya ada sedikit 'setuju tidak setuju'. Mungkin secara ringkas boleh saya katakan,
sekiranya jelas bahawa individu yang mewakilli sesuatu parti itu jelas melakukan dosa besar, maka kelayakannya untuk memimpin masyarakat dengan sendirinya terbatal (saya rasa ini jelas). Tetapi kiranya tidak jelas, atau mungkin langsung tidak diketahui, maka bagi saya tidak ada alasan untuk tidak memilih calon dari parti yang jelas matlamat penjuangan islamnya kerana mewakili sebuah parti yang tidak mempunya matlamat islam yang jelas inipun saya rasakan sudah menjadi satu dosa besar. Maaf, ini mungkin pendapat saya yang bukannya 'BEBAS' seperti penulis.
Sebagai kesimpulannya, buku ini adalah satu pandangan kritis dan membina (jika tidak sebagai rujukan dan panduan) yang sepatutnya dibaca oleh kedua-dua parti PAS dan UMNO, mungkin PKR juga. Dari sudut melakukan perubahan yang dicadangkan, PAS kelihatan lebih 'mudah' berbanding UMNO saat ini. Tetapi ia masih bergantung pada perspektif mereka juga. Lantaran, kerap kali wujud tanggapan sesuatu pihak itu dinafikan oleh pihak yang 'ditanggapkan'. Apatah lagi kiranya tanggapan itu datangnya dari orang yang entah dari mana datangnya. Pada saya inilah cabaran pertama. Meraikan tanggapan masyarakat dengan memperbetulkan tanggapan dengan memulakan perubahan!
Wallahua'lam.